Berpura bicara soal seni

Aku bukan orang yang kenal apa itu seni. Dari usia yang kecil, seni bagi aku ialah matapelajaran yang, kalau dikira untuk purata, bakal menjatuhkan kedudukan aku dalam kelas.

Bukan macam Joan Miro.

Dia, dari usia 5 tahun, menjadi rutin mingguan pada hari Ahad dibawa ayahnya ke Museum of Romanesque Art di Park de la Ciutadella [kini bangunan itu adalah Catalan Parliament]. Dari kecil Miro sudah disebatikan dengan art – sama sebati dengan darah dalam urat nadinya, kata Miro suatu ketika dahulu.

Aku. Aku buta seni.

Jadi nama-nama seperti Gaudi, Picasso dan Miro – yang sinonim dengan Kota Barcelona ini – aku hanya kenali dalam usia lewat 20-an dan awal-30an. Seperti anak muda lain, Barcelona lebih aku kenali kerana Nou Camp, Olympic Stadium 1992 dan kelab-kelab bolanya: RCD Espanyol dan FC Barcelona.

Mungkin aneh bagi kalian yang celik seni untuk aku sekalikan Gaudi, Picasso dan Miro. Sebab Picasso dan Miro adalah pelukis manakala Gaudi adalah arkitek yang namanya patut disebut seiring dengan Domenech i Muntaner dan Puig i Cadalfach: tokoh-tokoh Catalan Modernisme. Tapi biarlah, aku nak bercerita tentang kesenian dan Kota Barcelona. Kawan-kawan Gaudi aku akan cerita lain hari, ya.

Pablo Picasso sedikit janggal untuk aku kaitkan dengan Barcelona pada mulanya, kerana dalam fikiranku dia lebih berpusat di Paris. Membaca buku ‘Homage to Barcelona’ karya Colm Toibin [jangan kelirukan ini dengan buku ‘Homage to Catalonia’ karya George Orwell] memberikan aku penjelasan kenapa aku berfikiran sedemikian: Paris pada dekad-dekad awal kurun ke-20 memang pusat seni; dan akhirnya memang Picasso berhijrah ke sana. Tetapi hari-hari awalnya sebagai seorang prodigi seni bermula di Barcelona, di Escola Llotja, di apartmen-apartmen di kota ini yang disewa. Karya-karyanya pra-Cubism banyak dihasilkan di Barcelona, jadi memang sesuailah ada Museum Picasso di sini.

Aku tak masuk. Bukan sebab mahal, tapi sebab bukan aku minat sangat pun. Dia macam kalau kau tahu Robbie Williams datang buat concert. Kau tau dia best, tapi kau takdelah nak beli tiket, sebab kau bukan minat pun. Cuma kau tahu lah anak kelahiran Port Vale itu pernah sebahagian dari kugiran Take That.

Antoni Gaudi

 

 

Antoni Gaudi (bukan Robbie Williams)

Berbeza dengan Picasso, yang lahir di Andalus dan berhijrah ke Barcelona pada usia muda*, Miro dan Gaudi memang anak jati Catalonia – bukanlah Barcelona tetapi Reus, di pinggiran kota itu. Walaupun Miro akhirnya berhijrah ke Paris demi masa depan keseniannya, dan kemudian ke Amerika Syarikat, dia tetap aktif dengan politik menentang diktator Sepanyol, General Franco. Gaudi pula, memang hidup dan matinya di Barcelona dan kawasan hampir – lengkap dengan legasi-legasi senibina  unik beliau di seluruh kota. Utuhnya jatidiri Gaudi, hinggakan dia diberitakan tidak mahu berbicara dalam bahasa selain Catalan, walaupun fasih berbahasa Sepanyol.

Gerakan seni Catalan – sama ada dari segi senibina, kesusasteraan, seni lukis – sangat susah untuk dipisahkan dari sejarah dan politik wilayah Timur Laut negara Sepanyol ini. Seni dijadikan suatu asas atau media untuk perjuangan dan resistance. Usaha-usaha kerajaan Franco merisik Miro langsung tidak pedulikan – sebaliknya beliau turut serta dalam perarakan menentang Franco, termasuk protes perbicaraan Burgos pada 1970 bersama tokoh intelek Catalan lain. Picasso pula tidak membenarkan karyanya Guernica, yang dipamerkan pada International Exhibition 1937, diperlihatkan di Sepanyol sehingga jatuhnya rejim Franco. Antoni Gaudi sudah meninggal dunia pada ketika ini, tetapi seorang lagi Antoni, iaitu Antoni Tapies, turut vokal dan tegas dalam menggunakan seninya dalam memperjuangkan identiti dan kemerdekaan Catalan – sehinggakan apabila Franco meninggal dunia pada 1975, beliau melahirkan kelegaan kerana boleh sudah berkarya dengan bebas: bukan kerana Franco mengekang kreativiti beliau tetapi kerana dia kini bebas dari tangunggjawab politiknya sebagai anak seni.

Seorang lagi anak Catalan yang namanya sinonim di dunia seni ialah Salvador Dali – yang aku tak kaji sangat dalam cuti kali ini. Beliau tidak terlalu tertumpu di Barcelona, sebaliknya bersekolah seni di Madrid dan mencipta nama di Paris, walaupun legasi beliau dikumpulkan di Figueres, lebih kurang 90 batu ke utara Barcelona di daerah Girona. InsyaAllah lain kali di Barcelona aku selami pula si aneh ini, yang hidupnya (dan seninya) penuh dengan berbagai taktik mengundang kontroversi. Cukup setakat aku notakan di sini yang Dali, berbeza dengan Picasso, Miro dan rakan-rakan seangkatannya, adalah pro-Franco.

Bila berfikir tentang perjuangan Catalan vs Castilian (yakni Sepanyol arus perdana), aku sering cuba mencari persamaan dengan perolakan dan arus politik dunia dan Malaysia; lebih-lebih lagi apabila rakan-rakan aku sering mengusik yang Catalan itu mirip dengan Kelantan – kedudukkannya di pantai Timur, dan bahasa yang sukar difahami! Tetapi ianya tidak dapat dipermudahkan. Terlalu banyak sejarah dan seliratan alur-alur yang berkecamuk; dan kali ini dapat aku katakan bahawa sejarah mereka yang tertewas tidak dapat ditulis semua oleh mereka yang menang. Mungkin aku bercerita lain kali.

Buat masa sekarang, aku zahirkan seliratan jalan-jalan kota Barcelona karya rakan aku yang bukan Catalan, dan juga bukan Kelantan.

Port Vell, Barcelona

 

*Kata Jordi Pujol, mantan President Catalonia, seseorang itu dikira Catalan asalkan dia bekerja dan tinggal di Catalonia dengan hasrat terus menetap di situ.

1 thought on “Berpura bicara soal seni

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s