Mari Menuju Kejayaan

Secara berseloroh, rakan sepejabat saya bertanya: “Kamu pindah ke Birmingham ni, sebab nak senang cari restoran halal, bukan?” Saya tergelak. Buat sementara waktu, ketika sedikit pengubahsuaian dibuat di bangunan kami, pensyarah berkongsi pejabat. Saya bertuah kerana rakan sepejabat merupakan seorang Muslim tempatan yang begitu berpengalaman tentang sumber barangan runcit halal, selain selok belok hidup di sekitar kampung kecil ini.

Sebenarnya, ketika berfikir tentang mahu berhijrah ke bandar yang lebih besar, isu senang atau susah makanan halal tidak terlintas di fikiran saya. Lebih dirintihkan soal kos sara hidup harian: dan ini dengan segera melenyapkan kota London dari senarai, walaupun saya begitu tertawan dengannya. Lantas senarai pendek bandar besar yang ingin saya diami tinggal dua: Birmingham atau Manchester.

Bukanlah saya tidak peka dengan makanan halal – tetapi hakikatnya saya tidak terlalu gemarkan ayam atau daging: kambing jauh sekali. Saya lebih kepada makanan laut. Dan tentang makan di restoran halal pula, sepuluh tahun di bandar sederhana Colchester dan enam tahun di bandar kecil Lancaster mengajar saya bahawa kalau tak dapat nak makan di restoran, maka belajarlah masak sendiri. Itulah dia yang membawa tahap memasak saya dari takuk ‘anak manja mak buat semua’ kepada ‘amatur picisan yang reti jamu orang’.

Tetapi dalam masa singkat saya di sini, saya tertawan dengan ‘multiculturalism’ di bandar kedua terbesar England ini. Di bandar begitu banyak (secara relatif) tempat untuk solat: lengkap dengan tempat wudhu’ jadi tidak terkinja-kinja cuba membasuh kaki dalam sinki di tandas, dengan air terpancut ke sana sini menyebabkan lantai licin untuk pengguna lain. Di New Street Station dan Library of Birmingham, kedua-dua tempat yang sering saya lalu / lawati, kemudahan ini tersedia. Jadi kalau saya tinggal solat, itu memang keingkaran saya terhadap Yang Esa dan bukan kerana tiada tempat.

Saya juga teruja melihat anak-anak remaja berbagai kaum dan warna kulit, berhijab, berambut perang dan kerinting, berjalan bersama-sama sambil gelak ketawa menuju ke sekolah pada waktu pagi. Kalau ada ‘geng-geng’ dan ‘mean girls’, saya kira bukanlah bangsa atau warna kulit yang menjadi kayu pengukur. Bukanlah di bandar-bandar lain di negara ini tiada persahabatan sedemikian. Cuma ini yang saya nampak hari-hari.

Sudah pasti kanta ros saya masih belum diturunkan dari mata: semuanya indah belaka, buat masa sekarang. Tidak lama lagi, akan lenyaplah semuanya dan realiti akan kembali. Tetapi sehingga saat itu, saya layankan saja..

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s